Saturday, September 6, 2008

KENA

KENA

Pegang kena jadi
Usik kena siap
Fikir kena buat
Tanggung kena jawab
Cakap kena bikin
Tak tahu kena bertanya
Tak pandai kena belajar
Tak boleh kena boleh
Jatuh kena bangun
Sakit kena makan ubat
Tembak kena tepat
Bila nazak kena mengucap
Innalillah hi wa inna ilaihi rojiun................

Coretan:Puan Jamaliah bt Sulaiman
Buletin PDRM Kontigen Perak

Thursday, August 28, 2008

Pondok Polis Kubu Gajah

Pondok Polis Kubu Gajah

Tindakan polis yang lebih berkesan untuk mencegah jenayah ialah dengan adanya kerjasama dan penglibatan masyarakat. Polis dan masyarakat hendaklah bekerjasama dalam satu perkongsian (partnership) untuk bersama-sama mewujudkan ketenteraman awam (co-produce public safety) dan satu daripada cara tindakan ini ialah melalui program Skim Pengawasan Kejiranan atau dalam bahasa Inggerisnya "Neighbourhood Watch Scheme". Di negara-negara yang lebih maju di mana program ini telah diadakan, kerjasama masyarakat dengan polis telah dapat ditingkatkan dan jenayah dapat dikurangkan.
PengertianPengawasan kejiranan adalah satu rangkaian penduduk setempat yang mempunyai kesedaran untuk mengawasi kejadian yang berlaku di sekitar kawasan kejiranan dan melaporkan aktiviti-aktiviti yang diragukan kepada polis. Dalam erti kata lain, masyarakat adalah mata dan telinga kepada polis untuk memerhatikan perkara-perkara yang biasa dan juga luar biasa, di samping menjaga keselamatan rumah mereka. Dengan demikian, adalah diharapkan kesempatan untuk berlakunya kegiatan jenayah dapat dikurangkan. Dengan adanya program seperti ini, setiap jiran akan berpeluang untuk mengenali jiran mereka dengan lebih dekat lagi dan seterusnya merapatkan hubungan.
Cara pelaksanaanSkim ini mengandungi beberapa Kumpulan Pengawasan Kejiranan (Neighbourhood Watch Groups). Setiap kumpulan terdiri dari 10 hingga 20 jiran. Setiap kumpulan juga mempunyai satu kawasan kejiranan tertentu untuk diberi pengawasan. Pengawasan tidak semestinya bermaksud mengadakan rondaan. Ahli-ahli kumpulan tidak semestinya menjalankan rondaan tetapi mereka hendaklah sentiasa mengawasi kawasan masing-masing, dan sekiranya terdapat perkara yang luar biasa, ianya haruslah dilaporkan kepada polis dengan segera. Mereka juga tidak semestinya membuat tangkapan.
Penyelaras Kumpulan
Setiap kumpulan seharusnya mempunyai seorang wakil yang diberi nama Penyerlaras Kumpulan yang bekerja rapat dengan ahli-ahli dan dengan polis. Penyelaras-penyelaras ini dipilih dan dipersetujui oleh setiap ahli dalam kumpulan. Ia juga bertanggungjawab untuk mengadakan mesyuarat di kalangan ahli-ahli kumpulan.
Penyelaras Kawasan
Di dalam satu kawasan pula terdapat beberapa kumpulan pengawasan kejiranan. Sesuatu kawasan mungkin mempunyai antara 10 hingga 20 kumpulan. Di peringkat kawasan seorang wakil yang diberi nama Penyelaras kawasan akan dipilih sebagai wakil kawasan.
Cara menubuhkan Kumpulan Pengawasan Kejiranan
Berhubung dengan Ketua Polis Daerah dan Ketua Polis Balai
Sesiapa juga boleh menubuhkan Kumpulan Pengawasan Kejiranan tetapi terlebih dahulu hendaklah berhubung dengan Ketua Polis Daerah atau Ketua Polis Balai berhampiran untuk mendapatkan nasihat dan panduan.
Perhubungan dengan jiran
Untuk mengukur minat jiran-jiran dalam kawasan, adalah dicadangkan supaya dihubungi jiran-jiran yang berdekatan. Cara yang paling baik sekali ialah dengan melawat ke rumah mereka, mengenalkan diri dan seterusnya berbincang mengenai skim ini. Jika sekiranya terdapat minat yang memadai, satu mesyuarat dengan jiran-jiran bolehlah diadakan.
Mengaturkan mesyuarat yang pertama
Perjumpaan yang pertama haruslah diadakan antara jiran-jiran setempat dengan Ketua Polis Balai. Mesyuarat atau perjumpaan seharusnya diadakan di rumah untuk mewujudkan suasana yang selesa dan tak formal. Janganlah kecewa jika sekiranya tidak semua mereka yang dijemput hadir.
Perjumpaan yang pertama
Di perjumpaan yang pertama ini berilah kata-kata aluan dan penerangan sedikit sebanyak tujuan mesyuarat itu dan selepas itu Ketua Polis Balai atau seorang Pegawai Kanan Polis akan dijemput untuk memberi penerangan lanjut mengenai Skim Pengawasan Kejiranan. Antara lain, Pegawai Polis akan menerangkan pengertian Pengawasan Kejiranan, tanggungjawab dan peranan ahli-ahli kumpulan dan juga keadaan semasa jenayah dalam kawasan tersebut. Jika mesyuarat tersebut bersetuju untuk mewujudkan Kumpulan Pengawasan Kejiranan di kawasan itu, seorang Penyelaras Kumpulan hendaklah dipilih dan dilantik.
Nama & nombor telefon jiran
Di perjumpaan ini juga setiap ahli hendaklah memberi nama penuh dan nombor telefon rumah masing-masing dan senarai ini diedarkan kepada setiap ahli. Satu salinan nama dan nombor telefon akan disimpan oleh pihak polis.
Pelan kawasanSatu pelan kawasan yang menunjukkan kedudukan rumah yang terlibat hendaklah diadakan supaya setiap ahli benar-benar mengenali dan mengetahui kedudukan rumah jiran mereka. Pelan ini hendaklah juga diedarkan kepada setiap ahli dan kepada polis.
Perkhidmatan-perkhidmatan yang terdapat dalam Skim Pengawasan Kejiranan
Membuat tanda pengenalan kepada harta benda (property marking)
Anda adalah digalakkan menanda setiap harta benda yang berharga dengan tanda nombor kad pengenalan. Sekiranya harta benda ini diberi tanda, harapan untuk mengesan dan mendapatkan balik harta ini akan bertambah baik jika barang-barang tersebut dicuri, selain mencegah penjenayah daripada mencurinya.
Ketahanan keselamatan rumah
Jika sekiranya diminta, pihak polis juga akan melawat rumah tuan untuk menjalankan pemeriksaan dan memberi nasihat dengan tujuan memperbaiki lagi ketahanan keselamatan rumah tuan.
Surat berita (Newsletter)
Dengan kerjasama ahli-ahli, pihak polis akan mengeluarkan surat berita dari masa ke semasa dan mengedarkannya kepada setiap ahli. Surat berita ini akan mengandungi segala aktiviti dan perkhidmatan yang dijalankan oleh kumpulan-kumpulan Pengawasan Kejiranan, berita mengenai ahli dalam kumpulan dan berita mengenai kejadian jenayah yang berlaku dalam sesuatu kawasan dan juga memberi nasihat bagaimana ahli-ahli boleh mencegah jenayah sedemikian. Surat berita ini juga akan memaklumkan tuan-tuan tentang keadaan jenayah semasa dan juga cara-cara penjenayah melakukan jenayah.
Papan tanda dan pelekat pengawasan kejiranan
Jika sekiranya lebih daripada 80% penduduk di satu-satu kawasan itu melibatkan diri dalam skim ini, papan-papan tanda mengenai skim ini akan ditempatkan di kawasan itu, dan beberapa pelekat yang sama juga akan dilekatkan di rumah-rumah berkenaan. Papan tanda dan pelekat ini boleh mencegah penjenayah untuk melakukan jenayah di kawasan itu.
Posted by Picasa